I-S-A ; ini sejarah aku

It’s a test, (from Allah), a test (from your Lord), it’s a test (what you gonna do?), gotta realize it’s a test test - native deen

luRve aNta aNti… (”,)

Filed under: story — ammarhabibahlovelavender at 8:24 am on Friday, February 24, 2006

"Sesungguhnya mukmin itu bersaudara" (Surah al-Hujuraat:ayat 10)

"Tidak beriman seorang muslim itu sehingga dia mencintai saudaranya
sepertimana dia mencintai buat dirinya" (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Bagi mereka yang mempelajari kedua-dua ayat dan hadis di atas, apa yang
difahami ialah semua mukmin itu bersaudara dan juga ia menerangkan tentang
tanggungjawab seorang Muslim kepada saudaranya yang lain. Selain daripada
kedua-dua ayat dah hadis di atas, berdozen lagi dalil-dalil yang menunjukkan
kewajipan seseorang Muslim mencintai, mengambil berat, membantu, bersikap
peduli dan juga mengasihi saudara seagamanya. Perkataan "ukhuwah" yang
bermakna "persaudaraan" seriang dijadikan tema untuk persaudaraan ikhlas
yang bertunjangkan iman dan takwa ini.

Kisah-kisah para sahabat yang berkorban dan berjuang untuk para sahabat
masing-masing menjadikan contoh teladan kepada generasi Muslim zaman moden.
Inilah yang menjadi pengamalan anak-anak harakah Islamiah dan dakwah
semenjak kebangkitan Islam di tahun 70′an lagi.Kebangkitan Islam yang telah
menemukan kemuncaknya di Malaysia telah menyaksikan pesatnya usaha dakwah,
kemunculan sekolah-sekolah agama, bank-bank Islam dan pelbagai lagi di atas
nama Islam. Tiada siapa yang dapat menafikan, itu semua adalah hasil daya
usaha sama ada secara langsung atau tidak langsung, pendukung-pendukung
gerakan Islam semenjak tiga dekad yang lalu. Di waktu yang sama, pemikiran
barat sekular,
liberalisasi dan juga budaya hendonisme pesat menular dan bersaing.
Keindahan persaingan kedua-dua arus ini telah melahirkan budaya yang baru di
dalam fenomena kebangkitan Islam di Malaysia.

Jika di awal kebangkitan Islam dahulu, dunia hanya dilihat sebagai hitam dan
putih. Kehidupan di dalam dunia ini di waktu itu hanya dilihat sama ada
berpihak kepada Islam ataupun Jahiliah. Di alaf ini, dunia tidak lagi hitam
dan putih dan bukan lagi Jahiliah versus Islam. Penjalinan di antara apa
yang ada di dunia dan apa yang ada di dalam nas telah menyaksikan pelbagai
kesan. Ada yang positif dan ada yang negatif. Antara yang terkesan dengan
fenomena yang baru ini ialah persoalan "ukhuwwah".

Cinta Remaja Dakwah.
Sebagai seorang pensyarah di IPT yang bergelar ustaz, penulis mempunyai
peluang yang menarik untuk bercampur dengan para pelajar yang menempuh zaman
muda belia mereka. Pelbagai masalah, isu dan juga pengalaman yang mereka
bawa untuk dibincangkan. Antara perkara yang sering dibawa berbincang ialah
persoalan cinta. Alaf yang serba unik telah menyaksikan bagaimana para
remaja dan belia dakwah tidak dapat lari dari fenomena cinta. Menariknya,
cinta yang mereka alami ini telah di"Islamik"kan seperti mana bank-bank,
institusi-institusi kewangan lain diislamkan. Maka timbullah istilah "Cinta
Ukhuwwah". Ayat-ayat dan hadis-hadis sering dijadikan alat untuk
menjustifikasikan apa yang dilakukan. Menarik lagi gejala ini menular di
kalangan mereka yang berkopiah, berserban, bertudung litup, naqib-naqibah
usrah dan mereka yang menggunakan ganti nama "ana - anta dan ana - anti".

Sms,Yahoo Messenger, email dan lain-lain kemudahan perhubungan era ICT telah
menjadi penghubung utama cinta "anta-anti" ini. Ia lebih selamat, kerana
tidak perlu berdating seperti pasangan yang tidak Islamik. Tidak perlu
membazir tambang teksi, tambang bas dan juga membazir membeli kertas kajang
berbau wangi dan dakwat yang berwarna-warni seperti mana halnya anak-anak
muda lain yang jauh dari arus kebangkitan Islam. Bermula dengan kata-kata
tazkirah, berakhir dengan ikon senyuman, teddy bear dan kadang-kadang gambar
wanita bertudung.

Malah ada yang menjadikan kehadiran di seminar-seminar, kursus-kursus dan
juga wacana-wacana ilmiah sebagai peluang untuk berjumpa. Bagi yang aktif
berpersatuan pula, mesyuarat-mesyuarat dan aktiviti-aktiviti persatuan
sering menjadi medan pelepas rindu. Alahai…kreatif betul anak-anak muda
dakwah alaf baru ini.

Fenomena yang berlaku ini dimeriahkan dan dikosmetikkan lagi oleh
nasyid-nasyid Melayu yang berpaksikan cinta muda-mudi. Klip-klip video
nasyid pun, tajuk-tajuk yang bombastik berbau cinta asmara. Hakikatnya,
fenomena cinta "anta-anti" ini semakin ketara dan semakin rancak. Ada yang
berakhir dengan perkahwinan, dan ada juga yang kecewa di pertengahan jalan,
dan tidak kurang juga yang telah menjerumuskan kedua-dua pasangan ke lembah
maksiat. wal’iyadhubillah…

Salah Faham Ukhuwwah fillah
Teringat juga penulis kepada satu fenomena apabila seorang siswi datang
mengadu dia diusik oleh Pak Lebai. Bukan sekadar sms, kad ucapan hari lahir,
kad hari raya, malah sejambak bunga ros di hari lahir juga telah dikirimkan
oleh Pak Lebai tersebut.Tidak tahulah penulis apakah tanggapan masyarakat
terhadap fenomena seumpama ini. Yang pasti di setiap kad, sms dan di
jambangan bunga tersebut terukir kata-kata "Ukhuwwah fillah kekal
abadi..".sekali lagi makna ukhuwwah disalah gunakan.

Satu kes yang lain pula, seorang siswa meluahkan kekecewaannya apabila
dihampakan oleh seorang siswi yang satu "jemaah" dengannya. Beliau tidak
sangka setelah berpuluh-puluh minggu mereka bertukar-tukar sms dan tazkirah
melalui email, akhirnya siswi tersebut bertunang dengan orang lain yang juga
satu "jemaah" dengan mereka.Aduh..lagi hebat daripada filem "Love Story"
yang pernah popular di tahun-tahun 70′an dahulu. Yang pasti, sekali lagi
tema "ukhuwwah fillah" menjadi "camouflagde" ke atas perhubungan antara dua
jantina yang ada kesedaran Islam ini.

Dalam satu insiden yang lain pula, seorang siswi pernah meminta pendapat
penulis. Seorang seniornya yang sedang menuntut di dalam IPT yang sama
dengan beliau telah bersungguh-sungguh melamarnya. Walaupun telah ditolak
lebih 20 kali, namun si teruna terus melamarnya juga.Sekali lagi slogan
"ukhuwwah fillah" menjadi lapik dan dijadikan bahan ugutan. Jika si siswi
tadi menolak lamarannya, maka hatinya akan hancur, dan ia bertentangan denga
mafhum hadis tadi. Oleh kerana bersimpati dengan si senior tersebut, si
siswi terpaksa menerima lamaran itu. Menarik bukan "trend" percintaan
golongan anta-anti ini.

Seorang siswa juga pernah meluahkan kemarahannya ke atas naqib usrahnya di
bilik penulis. Mengapa tidak, tatkala di dalam usrah, berkepul-kepul dalil
dan fikrah yang dibawanya. Sampaikan ketika pertukaran ke usrah lain, si
naqib meminta siswa tadi agar berbai’ah untuk kekal di dalam perjuangan dan
tidak menyertai jemaah lain. Sayangnya, di dalam perjalanan balik kampung,
siswa tersebut nampak sang naqib berjalan berpegangan tangan dengan naqibah
sekelas mereka…ini yang paling menarik.Lebih hebat lagi, kedua-dua mereka
lengkap dengan aksesori berkopiah dan bertudung litup. Jika di zaman 70′an
dahulu nescaya apa yang dilakukan oleh sang naqib dan naqibah tersebut bakal
menerima cop "kafir" dari pendukung gerakan dakwah yang lain.

Di satu sudut yang lain pula, seorang siswa yang sering menceritakan
kehebatan "Abuya"nya kepada penulis, juga tidak dapat lari dari fenomena
cinta anta-anti ini. Penulis amat kagum dengan siswa yang sering muncul
dengan baju Melayu berkancing dan juga songkok berwarna-warninya ini.
Matanya yang bercelak sahaja sudah cukup untuk rakan-rakan yang lain hormat
kepada beliau. Sayangnya atas takdir Allah, ketika penulis berkunjung untuk
menziarahi beliau, penulis ternampak gambar seorang Muslimah menghiasi
desktop komputer peribadinya. Ditanyakan sama ada itu adik, kakak ataupun
emaknya atau mungkin neneknya, beliau menafikan. Beliau terpaksa mengaku
bahawa itu adalah "kawan"nya. Yang hebatnya,
tertulis di sebelah keayuan wajah gadis tersebut "Ukhuwwah fillah membawa ke
Jannah".

Persoalannya, adakah fenomena ini sihat? Adakah ia sudah cukup islamik? Atau
penulis yang ketinggalan zaman sehingga naif terhadap trend muda mudi masa
kini? Ataupun fiqh Islamiyy juga perlu diubahkan untuk disesuaikan dengan
perubahan semasa. Di dalam artikel yang terhad ini, penulis tidak berhajat
untuk memberikan hukuman mahupun pandangan terhadap fenomena yang menarik
ini. Biarlah para pembaca  membuat penilaian mereka terhadap "sihat" atau
tidak sihatnya budaya ini. Semoaga ada di kalangan pembaca yang akan dapat
memberikan pandangan yang rasional serta boleh diwacanakan.

(Sumber Diperolehi daripada Majalah i Edisi Bulan Februari)

p/s: semoga kita semua dapat amek iktibar…byk da berlaku camni skrg



No Comments »

No comments yet.

RSS feed for comments on this post.

Leave a comment

You must be logged in to post a comment.