CINTA SEJATI
Seorang hamba sahaya bernama Tsauban
amat menyayangi dan merindui Nabi
Muhammad saw. Sehari tidak berjumpa
Nabi, dia rasakan seperti setahun. Kalau
boleh dia hendak bersama Nabi setiap
masa. Jika tidak bertemu Rasulullah, dia
amat berasa sedih, murung dan seringkali
menangis. Rasulullah juga demikian
terhadap Tsauban. Baginda mengetahui
betapa hebatnya kasihsayang Tsauban
terhadap dirinya.
Suatu hari Tsauban berjumpa Rasulullah
saw. Katanya "Ya Rasulullah, saya
sebenarnya tidak sakit, tapi saya sangat
sedih jika berpisah dan tidak bertemu
denganmu walaupun sekejap. Jika dapat
bertemu, barulah hatiku tenang dan
bergembira sekali. Apabila memikirkan
akhirat, hati saya bertambah cemas,
takut-takut tidak dapat bersama
denganmu. Kedudukanmu sudah tentu di
syurga yang tinggi, manakala saya belum
tentu kemungkinan di syurga paling bawah
atau paling membimbangkan tidak
dimasukkan ke dalam syurga langsung.
Ketika itu saya tentu tidak bersua muka
denganmu lagi."
Mendengar kata Tsauban, baginda amat
terharu. Namun baginda tidak dapat
berbuat apa-apa kerana itu urusan Allah.
Setelah peristiwa itu, turunlah wahyu
kepada Rasulullah saw, bermaksud
"Barangsiapa yang taat kepada Allah dan
RasulNya, maka mereka itu nanti akan
bersama mereka yang diberi nikmat oleh
Allah iaitu para nabi, syuhada,
orang-orang soleh dan mereka yang
sebaik-baik teman." Mendengarkan jaminan
Allah ini, Tsauban menjadi gembira semula.
MORAL & IKTIBAR
* Cinta kepada Rasulullah adalah
cinta sejati yang berlandaskan keimanan
yang tulen
* Mencintai Rasul bermakna mencintai
Allah
* Kita bersama siapa yang kita
sayangi. Jika di dunia sayangkan nabi,
insyallah kita bersama nabi di akhirat nanti
* Hati yang dalam kecintaan terhadap
seseorang akan merasa rindu yang teramat
sangat jika tidak bertemu
* Pasangan sahabat yang berjumpa dan
berpisah kerana Allah semata-mata akan
mendapat naungan Arasy di hari akhirat kelak
* Rasulullah amat mengetahui
mana-mana umatnya yang mencintai
baginda, meskipun baginda sudah wafat.
* Rasulullah memberi syafaat kepada
sesiapa di antara umatnya yang mengasihi
baginda
Sebaik-baik sahabat ialah mereka
yang berkawan di atas landasan keagamaan
dan semata-mata kerana Allah.